SIARAN MEDIA




TAPAK RINTIS PREMIS MAKANAN HIJAU DAN SISTEM PENCERNAAN ANAEROBIK DILANCAR DI MELAKA

 

AYER KEROH, 5 SEP 2017: Projek Mewujudkan Industri Pembungkusan Green-Blue (GB) sebagai langkah memperkasa industri berkenaan melalui pewujudan rantaian nilai industri pembungkusan GB, dilancarkan di sini, hari ini, melalui Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem Pencernaan Anaerobik.
 
Medan Selera Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh dipilih menjadi tapak rintis premis makanan hijau di Melaka.
 
Pembungkusan GB adalah teknologi pembungkusan inovatif yang menggabungkan konsep biodegradasi dan pembaikpulih sumber bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan perniagaan. Di bawah inisiatif ini juga, sistem pencernaan anaerobik turut diperkenalkan di premis makanan hijau yang akan merawat pembungkusan GB bersama sisa makanan untuk menghasilkan biogas dan biobaja sebagai pendekatan pembaikpulih sumber dan setersunya mengurangkan pelepasan gas hijau.
 
SIRIM, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah dilantik oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sebagai agensi pelaksana bagi projek ini yang melibatkan pembangunan kemahiran dan pengalaman untuk melanjutkan perkhidmatan dan kepakaran berkaitan pembungkusan GB kepada PKS yang menceburi industri ini.
 
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ar. Ismail Othman. Hadir sama pada majlis itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk TPr. Murad Husin, Setiausaha Bahagian Dasar Teknologi Hijau, KeTTHA, Paul Wong Kok Kiong dan Pengarah SWCorp Melaka, Ir Zulkifli Tamby Chik,
 
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, kesemua premis makanan berkenaan akan dibekalkan dengan bekas pembungkusan makanan GB dan sistem pencernaan anaerobik sebagai sistem pengolahan sisa makanan yang berasaskan konsep pembaikpulih sumber untuk tempoh rintis ini.
 
“Bagi tujuan pensijilan Premis Makanan Hijau, peniaga-peniaga di medan selera terpilih akan menerima khidmat perundingan sebagai persediaan awal sebelum pengauditan oleh badan pensijilan SIRIM QAS International.
 
“Beberapa kriteria utama perlu dititikberatkan untuk menaik taraf medan selera ini ke arah Premis Makanan Hijau seperti penerapan amalan kecekapan penggunaan tenaga dan air serta penyisihan sisa makanan secara berkesan selain memastikan kualiti dan kebersihan penyediaan serta pengendalian makanan diutamakan,” katanya.
 
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Naib Presiden SIRIM, Ir Dr Mohamad Jamil Sulaiman.
 
Menurut Prof Ir Dr Ahmad Fadzil lagi, projek ini dapat mewujudkan industri dan usahawan pembungkusan GB dengan anggaran sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi sebanyak RM45 juta dalam jangka masa tiga tahun, melalui tiga usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dilatih. Pembangunan sistem teknologi pencernaan anaerobik SIRIM juga bakal mewujudkan jaringan PKS yang terdiri daripada 15 perusahaan pembuatan dan perkhidmatan yang mampu memenuhi permintaan industri pengurusan sisa.
 
“Pihak Berkuasa Tempatan terpilih akan meraih sumbangan sampingan melalui penjimatan elektrik sebanyak RM592,000 daripada empat fasiliti pembaikpulih sumber sepanjang 10 tahun ini.
 
“Dalam jangka masa 10 tahun operasi sistem pencernaan anaerobik, projek ini bakal memberi penjimatan kos kepada pengurusan sisa dan mengurangkan kesan pelepasan rumah hijau sebanyak RM4.6 juta,”katanya.
 
Selain Medan Selera Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka, tiga lagi kawasan yang telah dikenalpasti untuk projek sedemikian adalah Medan Selera Awam USJ7, Subang Jaya, Selangor; Medan Ikan Bakar Kampung Gelam, Port Dickson dan Medan Ikan Bakar, Dengkil di Selangor.

 

                                                                                     ###