Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani (dua dari kiri) menyerahkan plak Loji Demonstrasi Solar Termal kepada Pengerusi Ahli-ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) Dato’ Seri Haji Saipolbahari Suib (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Datuk Seri Dr Mohd Azhar Hj Yahaya. 


Siaran Media

 

SIRIM & UNIDO BANGUNKAN PROJEK LOJI DEMONSTRASI
SOLAR TERMAL PERTAMA

 

MACHAP, 24 Sep 2018: Projek Loji Demonstrasi Solar Termal yang dibangunkan oleh SIRIM dengan kerjasama Organisasi Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) merupakan loji demonstrasi yang menggunakan teknologi solar termal pertama seumpamanya dibina pada skala industri di negara ini.

 

Loji demonstrasi tersebut mampu menyediakan tenaga pemanasan solar yang mampan untuk proses pelecuran ayam itik, yang dapat menggantikan 80 peratus tenaga pemanasan oleh dandang elektrik yang kini digunakan dalam operasi.

 

Projek ini dapat mengurangkan pelepasan karbon sehingga 69 tan setahun, dan menjimatkan penggunaan elektrik sehingga RM50,000 setahun. Sistem ini terdiri daripada pengumpul tiub pemanasan solar, tangki simpanan haba dan penukar haba yang dikawal secara automatik.

 

SIRIM hari ini menyerahkan projek loji demonstrasi berkenaan kepada PPNJ Poultry & Meat Sdn Bhd dalam satu majlis penyerahan di sini yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Datuk Seri Dr Mohd Azhar Hj Yahaya. Beliau mewakili menterinya, Yeo Bee Yin. Turut hadir, Pengerusi Ahli-ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) Dato’ Seri Haji Saipolbahari Suib dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani

 

Projek kerjasama Global Environment Facility (GEF)/UNIDO dan SIRIM ini juga telah berjaya melatih seramai 167 tenaga profesional dalam latihan pakar, 339 penggiat industri dalam latihan pengguna dan lebih daripada 630 peserta seminar kesedaran bagi mewujudkan critical mass terhadap penerimaan teknologi baru dan penerapan yang berjaya dalam sektor perindustrian.

 

Prof Ir Dr Ahmad Fadzil berkata selain daripada loji demonstrasi PPNJ Poultry & Meat ini, SIRIM, melalui kepakaran dan teknologi kejuruteraannya sendiri turut berjaya menyesuaikan teknologi itu kepada tiga buah lagi loji dalam sektor makanan dan minuman serta perhotelan iaitu Muslim Kitchen Sdn Bhd di USJ, Selangor; Syarikat Aameen Sdn Bhd di Teluk Intan, Perak dan De Baron Hotel Sdn Bhd di Langkawi, Kedah.

 

“Maklum balas yang dikumpulkan sangat menggalakkan di mana syarikat pengeluar makanan ini berjaya mengurangkan lebih daripada 50 peratus penggunaan bahan bakar fosil dan bil elektrik, manakala hotel di Langkawi ini pula menggunakan sepenuhnya tenaga suria untuk bekalan air panas di salah satu tingkat hotel,” katanya lagi.